Debat Syed Saddiq: Pemuda PN terima, Adam Adli tolak

0
153

KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menerima sahutan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat mengenai hala tuju anak muda.

Bagaimanapun, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menolak tawaran tersebut dan mencadangkan supaya calon muka baharu yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) diberikan peluang untuk berdebat.

Ahmad Fadhli berkata, beliau sedang berhubung dengan Syed Saddiq bagi menentukan masa dan tarikh yang bersesuaian untuk merealisasikan debat itu.

“Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini. Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.

“Perdebatan adalah budaya yang sihat dalam masyarakat kita. Bagi saya, tiada masalah dan bila-bila masa sahaja perbincangan (debat) ini boleh dilakukan. Bukan hanya dalam tempoh PRN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Syed Saddiq melalui satu hantaran di Twitternya mempelawa pimpinan tertinggi anak muda mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Adam Adli dan PN, Ahmad Fadhli untuk mengadakan perdebatan mengenai hala tuju anak muda.

Jelas Syed Saddiq, cabaran debat tersebut sebagai usaha menyahut cadangan mengangkat politik idea dan solusi agar rakyat dapat menilai hala tuju serta tawaran parti masing-masing dalam PRN 12 Ogos ini.

Sementara itu, Adam Adli memaklumkan, peluang perlu diberikan kepada calon baharu yang bertanding pada PRN supaya mereka mendapat lebih pendedahan dan perhatian daripada media dan rakyat.

Beliau turut mencadangkan supaya perdebatan di antara pimpinan tertinggi anak muda parti itu diadakan selepas selesai PRN.

“Terima kasih atas ajakan. Biarpun janggal untuk debat diadakan antara dua ahli Parlimen kerajaan dengan disertai pula oleh seorang ahli Parlimen pembangkang, saya kira ianya menarik dan boleh kita jadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar jelas semuanya.

“Begitu pun, saya percaya ada yang lebih memerlukan pentas ini saat sekarang. Saya cadangkan sempena PRN ini, kita beri peluang dahulu kepada calon-calon muka baharu kita berdebat.

“Beri tumpuan kepada suara mereka. Biar mereka dapat lebih pendedahan berbanding kita yang ada kelebihan dari segi perhatian media dan masyarakat selama ini. Ini masa untuk serlahkan mereka. Urusan antara kita ini boleh diadakan selepas selesai PRN. Insya-ALLAH.. Tetapkan perimeternya nanti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here