Adun Melayu ‘bisu’ isu libat komuniti, kata pemimpin PAS

0
133

ADUN Melayu di Pulau Pinang tidak bersuara mengenai isu berkaitan orang Melayu dan Islam, menurut Ketua PAS negeri Fauzi Yusoff.

Fauzi yang bertanding di kerusi Sungai Dua pada PRN menyeru pengundi Melayu di negeri itu memastikan suara mereka didengari dan tidak memilih “jaguh kampung”.

Katanya, tidak cukup Adun Melayu setakat memberikan bantuan kepada pengundi, mereka juga mesti memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

“Pergi duduk dalam DUN bisu daripada mempertahankan hak orang Islam, daripada mempertahankan orang Melayu, membawa suara orang Melayu dalam DUN.

“Sebab itulah kita lihat jadi macam-macam ni. Takda halangan, sekatan kepada apa sahaja projek gila yang kerajaan negeri Pulau Pinang nak buat,” katanya pada ceramah di Kampung Lahar Tiang malam tadi menurut FMT.

Terdahulu, Fauzi bercakap mengenai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan projek perumahan “mahal”, yang menurutnya tidak menguntungkan orang Melayu.

Pemimpin PAS itu berkempen untuk Bukhori Ghazali, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pinang Tunggal, yang berdepan Zainudin Mohamed (PH).

Kerusi itu disandang Umno sehingga PH memenanginya pada PRU14 melalui Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR), yang kemudian menjadi timbalan ketua menteri.

Pada PRN 12 Ogos, PN bertanding 40 kerusi di Pulau Pinang, dengan PAS bertanding 10 daripadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here