KURANG sambutan, untung sedikit antara alasan beberapa pengusaha makanan yang menyediakan Menu Rahmah menghentikan menu berkenaan.
Pekerja sebuah kiosk makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Irfan Kassim, berkata, kenaikan harga bahan mentah menyukarkan lagi pengurusan syarikat meneruskan menu berkenaan.
Katanya, kiosk makanannya yang menyediakan Menu Rahmah berupa set nasi dengan lauk ayam dan sayur menamatkan menu berkenaan pada 20 April lalu selepas memulakannya pada 24 Februari.
“Penerimaan orang terhadap menu ini okay sahaja, kadang-kadang ramai, kadang-kadang tak ramai.
“Namun harga barang naik, susah nak untung tapi bagi kami anggap sedekah kepada pelanggan sahaja,” katanya.

Sementara itu kurang sambutan daripada pelanggan menyebabkan sebuah kedai makan di Bandar Elmina menghentikan Menu Rahmah.
Pembantu kedai makan berkenaan yang dikenali Siti memberitahu, pengurusan menghentikan Menu Rahmah yang berupa set mi kari dengan air mineral sejak bulan Ramadan lalu.
“Tempahan daripada pelanggan juga tidak menggalakkan, sekitar lapan ke 10 tempahan sehaja sehari.
“Mungkin juga sebab Menu Rahmah ini ditawarkan pada masa tertentu sahaja iaitu bermula 12 tengah hari hingga 5 petang,” katanya.
Sementara itu semakan di laman web www.menurahmah.kpdn.gov.my mendapati daripada 100 premis yang telah menawarkan Menu Rahmah, 35 premis telah menghentikan menu berkenaan berdasarkan tempoh penawaran yang sudah tamat.
Sementara itu 48 premis tidak diketahui statusnya berdasarkan data tempoh penawaran yang tidak lengkap dan 17 premis masih menawarkan menu berkenaan.
Sementara itu beberapa premis yang masih meneruskan Menu Rahmah sangsi akan masa depan menu itu sama ada mampu bertahan atau mampu membawa kebaikan kepada peniaga dari segi untung rugi perniagaan.
Pembantu restoran ikan sungai di Setia Alam yang hanya mahu dikenali sebagai Yanie memberitahu keuntungan daripada Menu Rahmah tidak begitu menarik.
“Pelanggan datang sini hanya mahu Menu Rahmah, tetapi kedai kami hadkan untuk 30 orang sehari.
“Untuk jangka masa panjang, macam tak sesuai,” katanya.
Pengurus restoran makanan berasaskan ayam dikenali Nur Sabrina, memberitahu agak sukar untuk kedainya meneruskan program Menu Rahmah sekiranya harga ayam terus naik.
“Kita amat risau dengan kemungkinan harga bahan mentah naik lagi. Macam kami banyak guna daging dan ayam, jadi sekarang terpaksa berjimat dan potong bahagian kecil-kecil,” ujarnya.

Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.