Sanusi dakwa Anwar pernah datang ke Kedah dengan lelaki Indonesia berkaitan REE sebelum jadi PM

0
174

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah datang ke negeri itu bersama seorang lelaki Indonesia berkaitan urusan unsur nadir bumi (REE) sebelum menjadi Perdana Menteri.

Justeru menurut Muhammad Sanusi, beliau seolah-olah mendapat jawapan mengapa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat beria-ia bercakap mengenai kecurian REE di Kedah.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar datang ke Kedah bersama seorang warga Indonesia. Saya lihat di portal lelaki ini berjumpa seseorang, rupanya datang untuk memohon kawasan lombong REE.

“Patut Saifuddin ‘pulun’ sangat, saya tau dah. Saya cuba cantumkan ‘puzzle’, teringat Anwar datang dengan lelaki itu jumpa orang di sana sini.

“Mengapa tak beritahu?,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang PN Pedu, malam tadi.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi mendakwa, beliau pernah dihubungi seseorang yang menyatakan lelaki Indonesia itu mahu memberikan ratusan ekor lembu bersempena hari raya korban.

“Tapi saya tak mahu kerana hampir dengan pilihan raya, takut jadi rasuah. Saya minta mereka berikan di tempat lain,” katanya.

Muhammad Sanusi menambah, sesiapa saja yang mempunyai kemahiran boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk melombong REE di Kedah.

Beliau bagaimanapun bertegas bahawa kegiatan itu perlu dilakukan mengikut undang-undang dengan hasilnya perlu dipulangkan kepada rakyat Kedah.

“Siapa saja di dunia yang ada kepakaran, kemahiran dan duit nak mohon kawasan REE, boleh mohon dan kita akan luluskan dengan syarat hasil itu dipulangkan kepada rakyat Kedah.

“Sesiapa pun boleh mari. Anwar, Saifuddin, (lelaki Indonesia) boleh mari. Kita buka seluasnya janji buat kerja ikut undang-undang dan betul. Jangan tanah kita rosak, mineral kita hilang (tapi) duit kita tak dapat,” katanya.

Mengulas kecurian REE yang dikatakan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, Muhammad Sanusi berkata, tapak lombong di Bukit Enggang hanya seluas lapan hektar sahaja dan cuma mewakili satu peratus daripada keseluruhan kawasan itu yang dipercayai mempunyai REE dalam jumlah besar.

“Kenapa mereka kata (kerajaan negeri) rugi berbilion? (Tujuannya) nak menggambarkan kita tak pandai memerintah hingga harta hilang berbilion.

“Dalam lawatan saya, kawasan yang dicuri itu 20 ekar (kira-kira 8 hektar), tak sampai satu peratus. Kita ada banyak lagi rizab kawasan ada REE, sebab itu mereka menitis air liur,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here