Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sanusi minta ahli Pas undi PN di kerusi ditandingi calon Bebas -

Sanusi minta ahli Pas undi PN di kerusi ditandingi calon Bebas

Oleh BADLISHAH MAT

KETUA Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa ahli Pas di Langkawi mengundi calon PN susulan tindakan dua ahli mereka bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Ayer Hangat dan Kuah.

Muhammad Sanusi berkata, masih terlalu awal untuk menilai kesan tindakan dua ahli Pas itu yang memutuskan untuk menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kedua-dua kerusi itu.

“Masih terlalu awal, kita baru dua hari (kempen pilihan raya), kita akan lihat bagaimana keadaannya dalam beberapa hari akan datang. (Tetapi) apa yang boleh dilakukan dah kalau orang itu dah kena pecat, bukan lagi ahli Pas. Nak boleh buat apa kan? Negara ini demokrasi.

“Kalau kita nak larang kena (lakukan) sebelum (penamaan calon) tapi masa itu kita tak tahu nak jadi (bantahan terhadap calon Bersatu),” katanya pada program Sembang Santai di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Seri Putera, Kuala Kedah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, situasi tersebut bukan sahaja melibatkan Pas tetapi parti lain turut berdepan isu sama apabila terdapat ahli mereka bertanding Bebas.

“Ahli lain pun ada, ahli UMNO pun ada tanding Bebas. Penyandang tak penyandang semua ada,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menolak ramalan penganalisis bahawa pembangunan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menurun jika negeri-negeri itu diperintah PN.

“Soal ekonomi bukan berkaitan dengan parti politik. Ada negeri yang maju tanpa Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan. Ada negeri yang miskin tetapi tidak ditadbir oleh PN.

“Analisa ini mengarut dan tidak berasas. Hanya orang gila sahaja yang akan berkata seperti itu, (ekonomi) bersangkut dengan parti,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan manakala parti politik hanya memainkan peranan kecil dalam proses itu.

“Ekonomi membangun bukan hanya tentang kerja yang dilakukan oleh satu atau dua pemimpin politik. Ia melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan pelaburan dan sebagainya,” katanya.

Beliau mengulas kebimbangan penganalisis bahawa pembangunan di negeri-negeri yang dipegang PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kononnya akan merudum jika pentadbiran diambil alih oleh PN. – SB