‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

0
154

BEKAS Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai memberitahu mahkamah hari ini, beliau menyedari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitannya tidak diurus seperti syarikat tersenarai lain.

Katanya, lembaga pengarah 1MDB juga tidak terbabit dalam transaksi syarikat manakala akaun syarikat dibuka melalui penandatangan iaitu pegawai pengurusan.

“Bagaimanapun, adalah dijangka kebenaran lembaga pengarah diperlukan apabila membabitkan urus niaga dengan jumlah yang besar,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Swampillai turut menyatakan tidak didorong sebarang tawaran daripada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara, selain tidak meminta tawaran untuk memberikan keterangan di mahkamah.

“Ini adalah yang benar belaka dan tidak ada apa-apa yang tidak benar,” katanya, lapor Berita Harian.

Swampillai selesai memberi keterangan hari ini dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-45 petang ini.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here