Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN umum 56 calon PRN Selangor Rabu ini -

PN umum 56 calon PRN Selangor Rabu ini

SENARAI 56 calon Perikatan Nasional (PN) Selangor yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diumumkan pada Rabu ini.

Pengumuman calon bagi semua Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dijangka berlangsung di Taman Medan, Petaling Jaya, kira-kira pukul 8 malam.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sudah memuktamadkan sepenuhnya agihan semua kerusi tersebut.

“Kita setakat ini akan mempertaruhkan calon-calon bagi kesemua 56 kerusi DUN di Selangor.

“Senarai itu akan diumumkan oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar Selangor, beliau menjelaskan pimpinan PN masih berbincang mengenai rancangan dan strategi bagi menghadapi PRN di negeri ini.

“Kita terlebih dulu akan mengumumkan nama calon dan perkara berkaitan pada Rabu ini. Soal itu (poster boy) kita tunggu dulu,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, PN menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat penilaian dalam membantu komuniti kaum India.

“Jawatankuasa itu sudah diluluskan Majlis Tertinggi minggu lalu dan dipengerusikan sendiri oleh saya. Semua kaum India juga boleh menyertai mana-mana parti komponen dalam PN sama ada Bersatu, Pas dan Gerakan,” jelasnya.