Jenazah Salahuddin Ayub selamat dikebumikan

0
126

JENAZAH Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan pada pukul 12.05 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah ahli Parlimen Pulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu disembahyangkan sebanyak lima kali di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat termasuk diimamkan oleh anak sulungnya Iskandar Zulkarnain Salahuddin, 37, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ribuan rakan politik, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir di masjid berkenaan serta di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang amat dedikasi dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh.

Terdahulu, Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here