Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengasuh didakwa bunuh bayi berusia enam bulan -

Pengasuh didakwa bunuh bayi berusia enam bulan

SEORANG pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia enam bulan, minggu lepas.

Tertuduh, Tan Wooi Cheng, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Taman Tawas Indah, Chemor antara jam 12 malam, 7 Julai hingga jam 11 pagi, 12 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat lapor Astro AWANI.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam J. Matthews.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang pengasuh ditahan dipercayai terbabit dalam kes dera seorang bayi perempuan berusia enam bulan sehingga mengakibatkan kematian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, dua hari sebelum itu, polis menerima laporan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang memaklumkan menerima seorang pesakit bayi perempuan berusia enam bulan dalam keadaan koma dan terdapat kesan lebam di badan.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) pada jam 2.51 petang, sehari kemudian.