Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN: GPS tidak hantar jentera, hantar wakil iringi calon kerajaan campuran -

PRN: GPS tidak hantar jentera, hantar wakil iringi calon kerajaan campuran

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) memutuskan untuk tidak terbabit secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

BH Online melaporkan, bagaimanapun Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pihaknya akan menghantar wakil bagi mengiringi calon parti Kerajaan Perpaduan di enam negeri itu pada hari penamaan calon, 29 Julai ini.

Beliau berkata, lima menteri dan enam timbalan menteri daripada GPS yang berada dalam kabinet Persekutuan pula akan membantu menerusi tugas mereka di kementerian masing-masing.

“Kita (GPS) tidak akan menghantar jentera kempen, tetapi kita ada 11 wakil dalam kabinet Persekutuan yang akan membantu rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan.

“Fadillah (Datuk Seri Fadillah Yusof) sebagai Timbalan Perdana Menteri pastinya memikul tanggungjawab untuk seluruh negara, Datuk Tiong (Datuk Seri Tiong King Sing) Menteri Pelancongan Malaysia tentunya mahu memberi tumpuan kepada sektor pelancongan misalnya memastikan Langkawi terus menjadi lokasi tumpuan di negara ini.

“Nancy (Datuk Seri Nancy Shukri) pula memberi tumpuan kepada kebajikan seluruh negara, manakala Datuk Rubiah Wang sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan memainkan peranan sesuai dengan tanggungjawab kementeriannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, faktor lain pihaknya tidak menghantar jentera kempen adalah mereka kurang arif dengan isu di Semenanjung.

“Tetapi kita mahu membawa mesej (menerusi menteri dan timbalan menteri) perkara penting yang perlu ditekankan ialah perlunya semua negeri itu memiliki kerajaan negeri yang stabil,” katanya.

Selain Fadillah, empat lagi Ahli Parlimen GPS berjawatan Menteri ialah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Aaron Ago Dagang.

Enam Timbalan Menteri pula, Datuk Rubiah Wang, Datuk Hanifah Hajar Taib, Datuk Hasbi Habibullah, Datuk Seri Huang Tiong Sii, Lukanisman Awang Sauni dan Datuk Wilson Ugak Kumbong.