Tular: Nelayan, pemandu bas pukul anjing dalam longkang mengaku tidak bersalah

0
158

DUA lelaki didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas satu video menunjukkan seekor anjing dipukul dengan kayu tular baru-baru ini.

Nelayan Rosli Mat Zain, 53, dan pemandu bas Suhaili Haron, 49, didakwa melakukan kesalahan itu dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, pada 8.30 malam 8 Julai lalu.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Khalid Ab Karim.

Polis membawa bersama kayu didakwa digunakan tertuduh untuk mendera anjing itu ke mahkamah sebagai bukti, lapor FMT.

Tuduhan menyeksa haiwan dilakukan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang menyatakan apabila tindakan jenayah dilakukan beberapa orang dengan niat bersama, mereka bertanggungjawab atas tindakan itu mengikut cara sama seperti perbuatan itu dilakukan bersendirian.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jim Hong meminta jumlah tinggi ikat jamin bagi memastikan kedua-dua tertuduh hadir ke mahkamah.

Hakim membenarkan masing-masing diikat jamin RM1,000 dan seorang penjamin, serta Rosli dan Suhaili perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 16 Ogos ini.

Rosli dan Suhaili tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here