Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pertuduhan tak dedah kesalahan Muhyiddin:Peguam -

Pertuduhan tak dedah kesalahan Muhyiddin:Peguam

PERTUDUHAN salah guna jawatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diketepikan kerana tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tiada pendedahan kesalahan berkenaan, sekali gus mewujudkan satu penyalahgunaan proses.

“Jelas bahawa konsep proses keadilan dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, yang mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.

“Empat pertuduhan mengikut seksyen itu tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui dalam undang-undang dan akibatnya harus diketepikan.

“Ia mesti jelas dan tepat dalam draf pertuduhan itu, pemohon (Muhyiddin) diprejudis,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini, lapor Berita Harian.

Media melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Muhyiddin memohon dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan tersebut pada 10 Mac lalu dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir bagi mendengar permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin, 75, didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk mendapat suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Presiden Bersatu itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Hisyam berkata Muhyiddin dibiarkan untuk meneka dan membuat spekulasi bagaimana didakwa menyalahgunakan kedudukan jika ada, selain sama ada membuat sebarang keputusan, mengambil apa-apa tindakan dan berhubung perkara apa.

“Pemohon tidak dapat memberi arahan tepat kepada pasukan peguam yang mengakibatkan penyediaan pembelaan menjadi cacat,” katanya.