PASARAN lelong bagi hartanah di negara ini meningkat 20% akibat kenaikan kali kelima kadar dasar semalaman (OPR) sejak Mei 2022, yang menyebabkan ramai peminjam tidak mampu meneruskan bayaran bulanan.
Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail, berkata pihaknya diberitahu jurulelong bahawa peningkatan berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, situasi terbabit sudah lama dijangka dan diramalkan akan meningkat dari semasa ke semasa apabila peminjam tidak mampu lagi melunaskan bayaran bulanan.
Katanya, sejak November tahun lalu, pihak bank sudah memulakan prosedur untuk mendapatkan perintah kawalan secara lelongan awam daripada pihak mahkamah atau pejabat tanah.
“Jadi ini merupakan fenomena yang sudah dijangka oleh kerana kenaikan OPR dan kemampuan peminjam membayar sudah tidak seperti sebelum PKP lagi kerana kebanyakan mereka hilang pekerjaan akibat penutupan beberapa industri.
“Ini menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan pembayaran, pihak bank pun tidak ada jalan lain selain daripada proses lelongan awam untuk mendapatkan kembali pinjaman mereka daripada peminjam.
“Proses ini akan berterusan dalam dua tahun kehadapan di mana jumlah lelongan awam akan meningkat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%. Kadar itu kekal dalam pengumuman terbaharu bank pusat minggu lalu.
Kenaikan itu adalah kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November pada tahun lalu sebelum dikekalkan kepada 2.75% pada mesyuarat pertama 2023 MPC Januari lalu dan sekali lagi kekal pada Mac.
Mengulas lanjut, Ishak berkata ia turut menyebabkan penjual menghadapi kesulitan untuk menjual rumah apabila sukar mendapatkan peminjam yang benar-benar layak dalam memenuhi syarat ditetapkan oleh pihak bank.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.