Bersih mohon sumbangan RM60,000 pantau PRN

0
219
Sebahagian daripada orang ramai mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam, baru-baru ini. Gambar Hiasan: Warta Rakyat

KUMPULAN reformasi pilihan raya, Bersih memohon sumbangan orang ramai bagi menggerakkan pasukan pemantaunya sepanjang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Bersih dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menganggarkan kos bagi keseluruhan program itu mencecah RM60,000 melibatkan 89 pemantau untuk memantau kesalahan pilihan raya di 61 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Walaupun pemantau kami bergerak secara sukarela dan tidak mengharapkan sebarang bayaran, namun kami tetap akan menanggung kos makan minum dan kos perjalanan.

“Justeru dalam pilihan raya kali ini, kami sekali lagi memohon sokongan daripada orang ramai untuk memberi sumbangan seberapa pun untuk kami memantau PRN dan menggerakkan rakyat keluar mengundi,” katanya lapor FMT.

PRN pada 12 Ogos depan membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.