Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Azmin dijangka 'pulang' ke Hulu Kelang, jentera parti bersiap sedia -

Azmin dijangka ‘pulang’ ke Hulu Kelang, jentera parti bersiap sedia

BEKAS menteri besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mungkin masih merahsiakan sama ada dan di mana dia akan bertanding pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, namun terdapat petunjuk kukuh bahawa dia akan berpindah ke Hulu Kelang.

Malaysiakini difahamkan melalui orang dalaman Perikatan Nasional (PN) bahawa persiapan untuk ke arah itu sedang dijalankan, termasuk membuka pusat operasi.

“Ya, arahan sudah diberikan supaya kita bersiap sedia di Hulu Kelang,” kata sumber.

“(Azmin) telah membuka bilik gerakan utama di rumah (arwah) ibunya di Klang Gate. Khemah juga telah dipasang di beberapa pusat pengundian daerah,” tambah sumber itu.

Malaysiakini menerima beberapa keping gambar menunjukkan khemah kanopi putih yang tertera logo PN di perkarangan sebuah banglo di Jalan Kolam Air, Kampung Kelang Gates Baharu.

Ini kemudiannya disahkan oleh pasukan kami, yang melawat lokasi itu malam tadi.

Azmin adalah penyandang tiga penggal DUN Bukit Antarabangsa yang di bawah kerusi parlimen Ampang.

Hulu Kelang pula adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Gombak – yang sebelum ini dipegang oleh Azmin dari 2008.

Bagaimanapun, Azmin – yang berpaling tadah daripada PKR pada 2020 – tewas di kerusi Gombak tahun lalu kepada anak didiknya, Amirudin Shari.

Semasa PKR menawan semula kedua-dua Gombak dan Ampang pada pilihan raya umum ke-15, PN mencatatkan keputusan yang lebih baik di Gombak (meraih 36 peratus undi) berbanding di Ampang (26 peratus undi).

Sumber PN juga berkata Azmin melarikan diri ke kerusi “lebih selamat” di Selangor atas beberapa faktor.

“Selain kampung halaman, dia mempunyai jentera yang cukup bersedia di Hulu Kelang (berbanding kawasan lain).

“Satu-satunya kebimbangan sekarang ialah untuk mendapat undi dari kawasan M40 dan T20. Dia kalah teruk dari segi undi di Melawati,” kata sumber itu merujuk kepada kawasan Taman Melawati, kawasan kejiranan mewah di kawasan tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi Azmin untuk mendapatkan ulasannya.

Minggu lalu, Azmin memberitahu media bahawa dia ditawarkan beberapa kerusi untuk bertanding pada pilihan raya negeri Selangor termasuk di DUN Morib, Batu Tiga dan Hulu Kelang.

Bagaimanapun, ketua penerangan PN itu menegaskan bahawa dirinya tidak akan bertanding di Hulu Kelang hanya kerana ia adalah kampung halamannya dan pucuk pimpinan tertinggi PN akan membuat sebarang keputusan.