9 juta pengundi tentukan PN lemah atau kuat-Razali

0
138

SEORANG pemimpin Bersatu mengakui PRN bulan depan akan menjadi referendum untuk menentukan kelangsungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa depan, sama ada ditolak atau diterima rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata undian lebih sembilan juta pengundi di enam negeri terbabit pada 12 Ogos depan bakal memberi naratif baharu sama ada gabungan Bersatu, PAS, dan Gerakan “semakin lemah atau kuat”.

“PRN ini bukan referendum kepada kerajaan pusat saja tetapi referendum kepada pembangkang. Sekiranya kita tidak dapat mempertahankan negeri kita ada (Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan ambil negeri PH (Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) maknanya rakyat tolak kita,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun Razali tidak bersetuju dengan andaian Bersatu diketuai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin itu akan berkubur sekiranya gagal menawan negeri dikuasai PH.

Katanya, PRN akan datang tidak menentukan hidup dan mati Bersatu memandangkan ia memiliki 31 Ahli Dewan Rakyat.

“Bersatu takkan mati dah. Cuma kesannya jika kita kalah atau menang, sama ada lemah atau kuat lagi.

“Tetapi kalau ditakdirkan kalah (di tiga negeri PH), kita kena susun strategi baru untuk berdepan PRU16.”

PN mempunyai 74 Ahli Parlimen yang mana 43 daripada PAS. Menteri besar di Kedah, Kelantan, dan Terengganu juga daripada parti itu.

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi Bersatu Selangor mengakui sukar untuk bergerak di lapangan ekoran dana terhad selepas PN tidak lagi menjadi pemerintah di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, Herman Hiew yang juga AJK Bersatu Shah Alam berkata usaha mendekati pengundi lebih mudah pada PRN ini memandangkan pertandingan kali ini hanya melibatkan dua penjuru, antara PN dan PH-BN.

“Kita akui susah nak buat program, sebab dana kita terhad… banyak akaun Bersatu disekat.

“Tetapi dari segi gerak kerja nak fahamkan pengundi, sekarang lebih muda, kerana dulu kita perlu guna banyak bahan kempen, sekarang hanya satu lawan satu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here