BEKAS kapten skuad bola sepak kebangsaan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita, bulan lalu.
Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, yang juga bekas pemain Perak FA bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Shahrul didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya, jam 6 petang, 21 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM 5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal, mencadangkan jaminan RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.
“Mangsa dalam kes ini adalah kenalannya, syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai,” katanya.
Peguam bela Ahmad Shahrul, Datuk Suraj Singh, memohon jaminan paling rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta tujuh anak, selain tiada risiko melarikan diri.
“Mohon jaminan dikurangkan kerana ia bukan untuk menghukum seseorang sebelum mula bicara.
“Anak guam dalam jaminan polis ketika menerima panggilan dan terus hadir ke mahkamah, tidak cuba mengelak dan melarikan diri. Isterinya tidak bekerja, manakala enam daripada tujuh anaknya masih belajar.
“Rakan anak guam yang juga pekerja kontrak akan menjadi penjamin untuk pastikan kehadiran pada tarikh akan datang, selain tertuduh tiada kes lain di mahkamah,” katanya.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menceroboh bilik sebuah hotel, di Petaling Jaya, bulan lalu.
Menurut sumber, laporan polis dibuat oleh seorang lelaki selepas mendakwa bekas pemain bola sepak kebangsaan berkenaan menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.
Ketika kejadian, seorang wanita yang juga isteri kepada pengadu itu dikatakan berada dalam bilik berkenaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.