Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pemandu lori ditahan selepas tular klip video maki hamun sambil pegang parang di stesen minyak -

Pemandu lori ditahan selepas tular klip video maki hamun sambil pegang parang di stesen minyak

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pemandu lori ditahan polis setelah klip video memaparkan beliau memaki hamun sambil memegang parang di sebuah stesen minyak, tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.40 petang, 1 Julai lalu.

Katanya, pemandu lori itu yang berusia 35 tahun bagaimanapun hanya membuat laporan polis mengenai kejadian itu semalam iaitu pukul 5.14 petang.

“Siasatan mendapati kejadian itu bermula apabila lori tersebut keluar dari hentian Bukit Kobah di Pendang. Ketika itu, berlaku perselisihan faham antara pemandu lori tersebut dengan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Akibat dari kejadian itu, pemandu Ford Ranger tersebut telah membunyikan hon kepada pemandu lori tersebut. Perselisihan faham itu bagaimanapun berpanjangan hingga kedua-dua mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah Selatan,” katanya.

Zaidy berkata, pemandu lori tersebut mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger menyebabkan dia mengeluarkan senjata tersebut yang disimpan dalam kenderaanya.

“Kejadian itu kemudiannya tular semalam dan pemandu lori tersebut membuat laporan kira-kira pukul 5.14 semalam. Dia yang beralamat di Bandar Utama, Sungai Petani kemudiannya ditahan dan akan direman pagi ini.

“Dalam masa sama kami sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun Tik Tok yang menularkan video tersebut untuk membantu siasatan. Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – SB