Mahkamah Tinggi diarah dengar semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie

0
148

MAHKAMAH Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri atas tuduhan rasuah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan itu secara sebulat suara hari ini.

Hadhariah berkata, permohonan pasangan berkenaan tidak didengar oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, kerana semakan itu ditolak atas alasan teknikal.

“Dalam permohonan untuk semakan, mahkamah bertanggungjawab untuk mempertimbangkan meritnya.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan peguam (pasangan terbabit) memfailkan permohonan menggunakan kaedah salah.

“Pengurusan kes untuk permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 14 Julai ini,” katanya lapor BH.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, manakala Bung Moktar dan Zizie Izette masing-masing diwakili peguam, M Athimulan and Datuk K Kumaraendran.

Pada 9 Disember tahun lalu, pasangan terbabit gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan terbabit.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bung Moktar, 66, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah sama, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 46, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here