Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Remaja cekik adik hingga mati direman pagi ini -

Remaja cekik adik hingga mati direman pagi ini

POLIS akan memohon perintah reman hari ini terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu, di Melaka Tengah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, kira-kira pukul 10 pagi.

“Suspek merupakan anak sulung kepada empat beradik, juga seorang pelajar sekolah Arab yang tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.

“Permohonan reman akan dibuat dan suspek kini ditahan bagi mengetahui motif kejadian dan membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai dicekik di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, insiden malang menimpa kanak-kanak berkenaan disedari oleh ibunya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung dan leher.