Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pegawai APMM Terengganu cedera ditetak nelayan Vietnam -

Pegawai APMM Terengganu cedera ditetak nelayan Vietnam

SEORANG pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu cedera parah di kepala selepas ditetak dengan parang oleh nelayan Vietnam, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul, 27, sedang menjalankan operasi di perairan bersama 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata kejadian berpunca apabila pihaknya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak pagi tadi kerana menceroboh perairan negeri.

Beliau berkata ketika menjalankan pemeriksaan, nelayan berkenaan telah bertindak agresif dengan menyerang dan mencederakan mangsa serta anggota APMM yang lain.

“Kesemua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka.

“Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,“ katanya.

Khairulanuar berkata mangsa termasuk nelayan Vietnam yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen yang sah serta dokumen pengenalan diri.

“Kesemua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,“ katanya. -Bernama