PRN: Shahidan, Mas Ermieyati jangka ahli UMNO akan beri sokongan kepada PN

0
152

PEMIMPIN-pemimpin Perikatan Nasional (PN) menjangkakan parti itu akan menerima sokongan daripada ahli-ahli UMNO dalam membawa kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam buah negeri tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa ahli-ahli UMNO sudah tidak lagi memberikan sokongan kepada parti itu lagi malah senario itu telah bermula sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Di Arau, ahli Pas 11,000 orang, ahli Bersatu 3,000 orang, saya dapat 31,000 (undi). Siapa yang sokong saya? Orang UMNO, yang masuk PAS saya seorang sahaja, yang lagi 16,000 siapa dia? UMNO,” katanya ketika ditemui dalam Program Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di pekarangan Markas Pas Port Dickson, di sini, malam tadi.

Beliau dalam pada itu meluahkan keyakinan PN akan terus menerajui negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN nanti.

“Mereka (UMNO) akan menyokong PN, di situ kita akan menang. Di Selangor UMNO akan menyokong PN. Di Pulau Pinang kita sedang bertarung hebat, tidak kasi can (peluang) punya silap-silap kita memerintah.

“Di Negeri Sembilan itu yang saya datang, saya berehat lama untuk datang Negeri Sembilan, saya akan berkampung, malam esok pergi Pilah (Kuala Pilah), selepas tu pergi Rembau. Negeri Sembilan dan Selangor mesti menang,” katanya yang turut merasmikan jentera PRN Port Dickson selain menerima lebih 40 borang keahlian baharu Pas.

Sementara itu, Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada majlis yang sama juga mendakwa kemenangannya pada PRU15 lalu di kerusi Parlimen Masjid Tanah juga dibantu oleh sukarelawan ‘senyap’ daripada Barisan Nasional (BN).

Dakwanya lagi, beliau kini banyak menerima mesej rintihan dari rakan-rakan yang masih berada dalam UMNO yang mula memahami tindakan dirinya meninggalkan parti itu dahulu.

“Untuk mereka meninggalkan UMNO hari ini mungkin mereka berasa serba salah tetapi saya minta tolong pada mereka untuk memberi peluang dan mengundi PN kali ini.

“Berada dalam Kerajaan Madani ini bukanlah kerelaan mereka, ramai yang tidak bersetuju, hati mereka sangat sakit, tidak usahlah menipu diri lagi.

“Saranan saya tidak perlu datang ke majlis ceramah, tidak perlu keluar UMNO dan sebagainya, cukuplah mereka keluar di hari pengundian dengan memangkah PN,” katanya lagi menurut laporan Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here