Bapa saudara didakwa rogol, amang seksual, rakam video, gambar anak buah

0
175

SEORANG bapa saudara yang bersikap pedofilia didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan merakam video porno mangsa, lima tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki gambar pornografi mangsa, Mei lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang merupakan seorang mekanik kapal di Singapura  mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, V.M. Mabel Sheela.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol, melakukan amang seksual dan merakam video pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah rumah di Jalan Rawa 1, Taman Perling, di sini pada pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

Dia turut dituduh memiliki pelbagai video dan gambar pornografi kanak-kanak berkenaan di sebuah rumah di Taman Nusantara, Iskandar Puteri pada pukul 9 malam, 24 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan; Seksyen 5, Seksyen 10 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau sebatan dan boleh didenda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan menurut laporan Utusan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin diberikan.

Mabel Sheela kemudahan menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan kepada tertuduh, selain menetapkan  24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam bela, Baharudin Baharim.

Difahamkan tertuduh bakal berdepan pendakwaan atas kesalahan serupa melibatkan mangsa sama di beberapa negeri lain, iaitu di Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.

Kesemua kejadian tersebut dipercayai dilakukan ketika mangsa berada dalam penjagaannya semasa musim cuti persekolahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here