“Saya sudah membayar kompaun yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) terhadap anak saya dan saya mohon isu ini tidak dipolitikkan.”
Demikian luahan See Yeap Seng, 51, iaitu bapa angkat kepada wanita bukan Islam berusia 35 tahun yang dikenakan kompaun Sabtu lalu disebabkan berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek.
Katanya yang menganggap isu berkenaan sudah selesai selepas dia tampil membayar kompaun yang dikenakan RM50 pagi tadi.
“Saya terima banyak panggilan berhubung isu ini termasuk daripada DAP yang menawarkan khidmat guaman, namun saya menolak kerana menganggap ramai pihak mengambil kesempatan memandangkan akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Namun saya tidak mahu perbesarkan isu ini memandangkan saya sendiri sudah mendapat penjelasan dengan MPKB sendiri,” katanya ketika dihubungi, lapor BH Online.
Beliau berkata, pada awalnya ketika anaknya dikenakan kompaun, dia sendiri agak keliru memandangkan kedai bajunya menjual pakaian wanita Cina dan tidak didatangi pengunjung Melayu atau lelaki.
“Saya cuba mendapatkan penjelasan daripada MPKB berhubung pemakaian yang dianggap seksi dan perkara itu juga sudah terjawab selepas saya mengadakan pertemuan dengan pihak MPKB.
“Saya tidak menganggap apa yang berlaku isu perkauman sebaliknya saya hanya mahukan pencerahan. Saya tinggal di Kelantan sejak sekian lama dan tidak pernah rasis.
“Ada orang kata saya rasis, namun orang yang kenal saya mereka tahu saya bagaimana. Saya mempunyai kedai kopi di Taman Maju dan kedai saya turut menyediakan surau untuk pengunjung beragama Islam,” katanya.
Justeru, beliau berharap orang ramai tidak mempolitikkan isu yang berlaku hanya disebabkan musim PRN.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita bukan Islam dikompaun oleh MPKB kerana berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek di tempat awam.
Tindakan kompaun diambil kepada wanita berusia 35 tahun itu ketika pemeriksaan mengejut di kedainya di Jalan Merbau, di sini, kelmarin selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 2019.
Yang Dipertua MPKB Rosnazli Amin, berkata kompaun dikeluarkan kepada pemegang lesen perniagaan atau pemilik sebuah premis kerana didapati berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.