Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bekas MP Labuan bebas dari pertuduhan salah guna kuasa -

Bekas MP Labuan bebas dari pertuduhan salah guna kuasa

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Datuk Rozman Isli daripada pertuduhan salah guna kuasa semasa dia menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) pada 2018.

Hakim Rozina Ayob memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas ahli parlimen Labuan itu.

Rozman, 59, didakwa menggunakan kedudukan di LPA untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

LLPM itu merupakan sebuah syarikat yang kepentingannya turut dimiliki bapa dan adik lelaki tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik mesyuarat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding hari ini Rozina memutuskan saksi pendakwaan menunjukkan bahawa mesyuarat lembaga LPA tidak pernah dipengaruhi oleh Rozman yang hanya merupakan timbalan pengerusi agensi itu pada masa tersebut.

Hakim terbabit menegaskan mesyuarat lembaga pengarah telah membuat keputusan kolektif mengenai isu kontrak itu.

Mesyuarat tersebut dikendalikan pengerusi LPA ketika itu, Wee Jeck Seng yang dianggap mempunyai kuasa lebih tinggi berbanding Rozman.

Wee kini merupakan ahli parlimen Tanjung Piai.

“Tiada saksi pendakwaan berkata tertuduh cuba mempengaruhi mesyuarat supaya hanya LLPM akan dilantik.

“Mahkamah ini mendapati kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Wee Jeck Seng – yang mempunyai kuasa tertinggi – telah mewujudkan inferens yang buruk (terhadap kes pendakwaan),” kata Rozina, lapor MalaysiaKini.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.