Rakyat Malaysia di Rusia, Armenia dan Belarus dinasihat berwaspada

0
160

RAKYAT Malaysia di Rusia, Armenia dan Belarus dinasihatkan terus berwaspada susulan pengisytiharan operasi memerangi pengganas (CTO) di Moscow dan wilayahnya pada Sabtu.

Kedutaan Malaysia di Rusia dalam kenyataan di Twitter menggesa rakyat Malaysia di tiga negara itu mendaftar atau mengemas kini maklumat terkini mereka dengan kedutaan melalui e-mel ([email protected]) dan nombor telefon +7 (495) 419 9898/99 atau +7 (906) 746 1333 (pegawai bertugas).

“Pendaftaran penting untuk memastikan maklumat berkaitan dan kemas kini daripada Kedutaan/kerajaan Malaysia dapat disampaikan dengan efektif dan efisien.

“Kedutaan sedang memantau teliti situasi semasa di negara ini dan menggesa semua rakyat Malaysia, khususnya pelajar di Moscow, Kursk, St Petersburg dan Volgograd sentiasa berwaspada serta bertenang, mengehadkan pergerakan di luar rumah, mengelakkan kawasan sesak, sentiasa membawa dokumen peribadi (termasuk pasport) dan memastikan dokumen perjalanan adalah sah dan mudah diakses.

“Bagi rakyat Malaysia yang merancang pergi ke Rusia, mereka dinasihat menangguhkan semua perjalanan tidak penting sehingga keadaan bertambah baik,” menurut kenyataan itu.

Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir menerusi Twitternya berkat: “Kementerian memantau dengan teliti situasi di Rusia susulan pergolakan akibat pemberontakan bersenjata.

“Kedutaan sedang berhubung rapat dengan semua 755 rakyat Malaysia berdaftar dan meminta mereka bertenang, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal di rumah.”

Ketegangan semakin memuncak di Rusia selepas kumpulan upahan Wagner diketuai Yevgeny Prigozhin, yang pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia.

Prigozhin berkata, pejuangnya akan mara ke Moscow, mendorong Kremlin meningkatkan langkah keselamatan merentasi pelbagai wilayah di negara itu, lapor Agensi Anadolu pada Sabtu.

Dalam perkembangan terbaharu, Prigozhin mendakwa pejuangnya memutuskan berundur bagi mengelakkan pertumpahan darah ketika mereka berada kira-kira 200km dari Moscow.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko pula berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin, dan Prigozhin menerima perjanjian untuk “meredakan ketegangan”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here