PN boleh menang 12 kerusi Melayu di P Pinang, ramal penganalisis

0
149

SEKURANG-kurangnya 12 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang dijangka dikuasai Perikatan Nasional (PN) pada PRN, kata penganalisis politik.

Lapan daripadanya dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan UMNO pada PRU14, manakala empat lagi kerusi Bersatu yang dikosongkan susulan undang-undang anti lompat parti di negeri itu.

Kerusi terbabit adalah Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Telok Bahang.

Kerusi ditawan PH terbabit adalah Pinang Tunggal, Telok Ayer Tawar, Penanti, Pulau Betong, Permatang Pasir dan Bayan Lepas manakala Permatang Berangan serta Sungai Dua dimenangi UMNO.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PN mampu merampas Bayan Lepas dan Pulau Betong, dua kawasan DUN terletak di bawah Parlimen Balik Pulau.

Jelasnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan majoriti lebih kecil iaitu 1,582 undi dimenangi calon PH Bakthiar Wan Chik di kerusi parlimen berkenaan pada PRU15.

Selain itu, Azmi berkata PN juga berpeluang cerah menang Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, kesemuanya di bawah Parlimen Permatang Pauh yang pada PRU15 dirampas PAS selepas sekian lama dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid and Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia pula berpendapat PN boleh merampas dua kerusi dalam Parlimen Tasek Gelugor iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua yang dikuasai UMNO.

Azeem turut berkata PN mempunyai peluang menang Sungai Acheh, DUN dalam Parlimen Nibong Tebal bersempadan dengan Perak.

Minggu lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu boleh menang hampir 20 kerusi.

Azeem berkata perubahan undi Melayu kepada PN yang dapat dilihat pada pilihan raya umum tahun lalu disebabkan kekuatan UMNO yang semakin berkurangan.

“Umno telah berpecah dan keputusan bekerjasama dengan DAP tidak diterima penyokong tegarnya,” katanya kepada FMT.

“Mereka mungkin tidak mengundi atau undi protes (undi PN).”

Fauzi pula berkata sentimen luar bandar di negeri itu menentang kerjasama PH dan UMNO walaupun Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meningkatkan imejnya di kalangan Melayu.

“Mereka (pengundi luar bandar) tidak semestinya pro-PAS tetapi mereka akan mengundi PAS sebagai protes terhadap UMNO dan untuk menunjukkan pada pandangan mereka, tiada perubahan dalam UMNO,” katanya kepada FMT

“Memang UMNO mengatakannya sudah berubah dan menuju ke arah transformasi dan sebagainya, tetapi saya rasa (mesej) itu belum ditapis hingga ke peringkat akar umbi.

“Mereka yang dulu menyokong UMNO tidak akan keluar mengundi atau mereka akan mengundi PAS dan PN.”

Beliau juga merujuk sokongan UMNO kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu sebab mengapa orang Melayu tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN).

“Jika UMNO mengambil keputusan untuk menyokong Najib, yang jenayahnya telah dibuktikan di mahkamah dan telah didapati bersalah, maka amat sukar bagi orang Melayu untuk menyokong UMNO.

“Ini juga akan menjejaskan undi untuk PH, kerana ia adalah gabungan dengan UMNO, terutama di kerusi di mana mereka (mungkin) meletakkan calon UMNO.”

Pada PRU14, PH menang 37 kerusi DUN manakala dua oleh BN dan satu dimenangi PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here