Jentera PN diingatkan tidak pinggir kawasan hitam – Muhyiddin

0
221

PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa jentera parti tidak meminggirkan kawasan hitam di sesuatu kawasan pilihan raya dengan anggapan kawasan tersebut tidak mempunyai potensi memberikan undi kepada parti.

Menurutnya, dalam situasi semasa politik hari ini tidak mustahil pengundi di kawasan hitam itu mampu memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN).

“Sebab itu saya tidak mahu kita (jentera) membuat kesimpulan awal. Oleh kerana kawasan tersebut kawasan hitam, kawasan kelabu, kita tak payah pergi. Biar dia gelap selama-lamanya.

“Terutamanya masa ini di kawasan UMNO. Dulu mungkin itu kawasan kuat UMNO tapi kali ini mungkin tidak lagi,” katanya berucap pada Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

Muhyiddin berkata, peluang tersebut perlu direbut lebih-lebih lagi UMNO kini berada dalam keadaan ‘hancur’ di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN dengan alasan sudah memadai jika mereka menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

Justeru, beliau mengingatkan kepada ahli serta pemimpin PN supaya jangan memaksa ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden BERSATU tetap menaruh harapan kepada pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dengan beralih menyatakan sokongan kepada PN.

“Orang UMNO memang tidak akan berganjak kerana kita pun tidak akan lari dan tinggalkan parti kerana ia sudah sebati dengan hidup kita.

“Hari ini, sudah pun ramai yang meninggalkan UMNO. Pemimpin besar, pemimpin sederhana mahupun pemimpin kecil, bawahan mengisytihar sokongan kepada PN. Terima kasih Tan Sri Noh Omar dan banyak lagi. Saya tak payah sebut di sini.

“Yang lain kata dia tak kena keluar dulu tetapi dia tetap sokong PN. Tak apa, jangan paksa suruh masuk mana-mana parti, asalkan dia sokong (PN).

“Saya percaya kali ini sebab yang menyokong UMNO dulu akan meninggalkan UMNO dan menyokong PN, Insya-Allah,” katanya.

Pada majlis sama, Muhyiddin menyentuh mengenai pemilihan calon PN untuk pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau menegaskan calon yang disenaraikan oleh pucuk pimpinan parti dalam gabungan itu wajib diterima.

“Ramai calon berkelayakan (dalam PN). Di Selangor khususnya sudah diteliti.

“Pucuk pimpinan putuskan (siapa dipilih jadi calon)… (maka) wajib terima calon itu…setuju?” katanya.

Mengulas manifesto PN, Muhyiddin berkata ia akan dilancarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here