Titah Sułtan Kedah bukan mahu cari gaduh – kata Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada mana-mana pihak sepatutnya merasa bimbang dengan titah Sultan, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada hari keputeraan baginda baru-baru ini, mengenai sejarah melibatkan negeri itu dan Pulau Pinang.

Katanya, titah baginda berkaitan perkara itu sememangnya benar, lurus dan betul serta tidak bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa.

“Saya rasa tak ada pihak patut rasa bimbang dan risau dengan titah itu sebab titah tersebut benar, lurus dan betul. Bukan bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa sebaliknya hanya untuk ungkapkan apabila ada pemesongan atau bahasa lainnya dipanggil penjulingan sejarah, keadaan itu mesti diperbetulkan oleh anak bangsa yang lahir dari kecerdikan, kepintaran, kecerdasan serta memiliki ilmu selain berusaha membuat kajian.

“Pembetulan mesti dibuat. Jika tidak, kita hanya hidup dalam rangka ‘diset’ pihak lain yang ada kepentingan sejak ratusan tahun lalu untuk kita hidup dalam keadaan tertentu.

“Saya fikir itu tak betul dan kalau dulu berlaku pemesongan, adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan itu selama-lamanya? Saya tak sanggup tetapi kalau ada orang sanggup atau selesa dengan pemesongan tersebut, itu kerana mereka ada kepentingan tertentu berkaitan pemesongan berkenaan,” katanya.

Sultan Sallehuddin ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini menegaskan, amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat Kedah cuba didiamkan berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah.

Titah baginda, pembentukan Malaysia tidak seharusnya menjadi titik bagi membenarkan sejarah sesebuah negeri yang wujud sejak sekian lama terpadam dan hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanya dipajak dari Kedah, perlu diperjelaskan secara terang bersandarkan fakta tanpa prejudis.

Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau bukannya ‘gila’ untuk mendesak agar Perlembagaan dipinda berkaitan Kedah dan Pulau Pinang, dalam keadaan partinya tidak memiliki dua per tiga sokongan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata tuduhan itu adalah sesuatu yang tidak logik selain turut didakwa sentiasa cuba mencari gaduh.

“Takkanlah nak membetulkan sejarah pun bermaksud cari gaduh? Semua itu (tuduhan) adalah usaha untuk mengekalkan pemesongan kerana mereka ada kepentingan darinya. Ada pakar sejarah kata sewa Pulau Pinang sudah terbatal. Tetapi itu beliau seorang saja yang cakap dan beliau pun lahir dari sistem yang telah dipesongkan itu. Saya tak tahulah PhD (Doktor Falsafah) beliau kaji bab apa?” katanya.