PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa segera menyelesaikan isu nilai pajakan Pulau Pinang dan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah, Mardhiyyah Johari berkata Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu profesional dan mengatur pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi tujuan tersebut.
Katanya, perbezaan pendirian politik serta isu saman antara kedua pemimpin tersebut bersifat peribadi seperti ditegaskan Muhammad Sanusi sebelum ini yang tidak seharusnya memangsakan rakyat negeri itu.
Katanya, Anwar gagal menjalankan tugasnya dengan profesional apabila hilang pertimbangan bagi membezakan seteru politik dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara.
“Perkara ini tidak sepatutnya menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sehingga memangsakan rakyat dan masa depan Kedah.
“Perdana menteri dilihat sangat terganggu dengan saingan politik yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
“Kegagalan PMX untuk memberikan fokus dalam melaksanakan fungsi perdana menteri serta menteri kewangan secara profesional adalah bukti yang nyata PMX hilang pertimbangan untuk membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Agenda Daily.
Mardhiyyah menambah, Anwar perlu menyambut hasrat Sultan Kedah dan Muhammad Sanusi dalam isu nilai pajakan Pulau Pinang dan projek KXP itu demi kepentingan masa depan negeri serta rakyat.
Pada 24 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.
Sebaliknya Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.
Pada 26 Februari, Muhammad Sanusi memaklumkan Kedah akan berusaha untuk membuat pembentangan projek KXP di hadapan Anwar bagi merealisasikan projek tersebut.
Beliau juga memaklumkan sudah mengutus beberapa surat kepada Anwar namun masih tiada respons namun Muhammad Sanusi berkata usaha untuk membuat pembentangan projek berkenaan di hadapan seterunya itu akan tetap dilakukan bagi merealisasikannya.