Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
MB Selangor tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN -

MB Selangor tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak pernah berkata, bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

Setiausaha akhbarnya, Jay Jay Denis berkata, apa yang dinyatakan oleh Amirudin adalah pendirian dan komitmen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kini yang menganggap MUDA sebagai rakan kerja.

Jelasnya, ini susulan kerjasama antara mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Apabila ditanya oleh wartawan sama ada Pakatan Harapan akan berunding dengan MUDA dalam PRN Selangor yang akan datang, menteri besar menjawab bahawa rundingan dengan MUDA akan ditentukan oleh PH dengan fahaman bahawa PH dan MUDA adalah rakan sekerja.

“Amirudin juga tidak bercakap bagi pihak MUDA. Saya berharap kenyataan ini dapat diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau meminta agar MUDA berhenti dari menampilkan politik yang tidak matang dan membuat semakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kalau nak main politik pun, paling kurang semaklah fakta,” katanya, lapor FMT.

Terdahulu, Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, kenyataan dikeluarkan Amirudin yang MUDa akan meneruskan kerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang adalah tidak benar.

Katanya, setakat ini tiada rundingan dibuat bersama PH berhubung kerjasama, jumlah kerusi dan kawasan akan ditandingi pada PRN.

Beliau merujuk hantaran Facebook PKR yang memetik Amirudin sebagai berkata: “Muda akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRN”.

Bagaimanapun, hantaran itu kemudiannya dipadamkan.