Industri vape semakin agresif, produk sasar generasi muda banjiri pasaran

0
165

INDUSTRI vape tempatan yang pernah menyaksikan kejatuhan pasca fatwa yang mengharamkannya pada 2015 kini membuat kemunculan semula dan semakin agresif dalam kempen pemasaran mereka bagi menarik pelanggan baru.

Selain pembelian dalam talian, butik-butik vape kembali mengisi premis di bangunan komersil.

Ada antara butik ini hanya menjual barangan vape dan ada juga yang digabungkan dengan premis perniagaan lain seperti kedai gunting rambut atau hab penghantaran barangan.

Industri vape dianggarkan bernilai RM2.49 bilion pada Februari tahun ini, dan ia dijangka semakin berkembang selepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memutuskan untuk mengeluarkan nikotin dari Akta Racun, satu langkah yang dikritik oleh pakar-pakar kesihatan seluruh negara. 

Sebelum ini, tular mengenai beberapa produk dan bahan kempen industri vape yang jelas menyasarkan golongan remaja dan kanak-kanak.

Pada Hari Raya Aidilfitri lepas, beberapa kedai vape tempatan dikesan menghasilkan sampul raya mereka.

Terkini, industri vape ingin membawa masuk mesin layan diri yang menjual produk vape.

Ini bermakna orang awam termasuk remaja sekolah boleh mengakses produk itu 24 jam sehari tanpa had. 

Ia berbeza berbanding penjualan rokok yang mana ia tidak boleh dibeli sesuka hati.

Ini kerana rokok ditempatkan di belakang kaunter premis-premis yang mana penjaga kaunter akan memantau mereka yang ingin membeli.

Bercakap kepada MalaysiaNow, profesor perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, industri vape mengambil peluang untuk mempromosikan produk mereka bagi mendapatkan pelanggan baru selepas kerajaan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952.

“Ada produk vape yang dijual semurah RM5 dalam bentuk pod pakai buang,” katanya.

Pod itu, menurut seorang penghisap vape yang enggan dinamakan, semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna rokok elektronik tersebut.

Industri vape juga mengadakan ekspo di ibu kota pada awal bulan ini, dengan pelbagai jenis perisa ditawarkan kepada pengguna.

Rafidah berkata, penguat kuasa sukar untuk memeriksa bahan yang diletakkan dalam perisa.

“Pengeluar rokok perlu mematuhi piawaian kandungan nikotin dalam pek mereka dan penguat kuasa boleh memeriksa mengikut kumpulan pengeluaran.

“Tetapi untuk vape, siapa yang boleh tahu apa yang dibubuh dalam bancuhan perisa? Ini semua satu pengenalan kepada pengambilan dadah,” jelasnya.

Vape juga mempunyai pelbagai perisa berbanding rokok dan ia boleh diterima oleh golongan yang selama ini tidak merokok.

Justeru, alasan bahawa vape mahu mengurangkan tabiat merokok kata Rafidah adalah tidak benar.

Ini termasuklah golongan wanita yang tidak merokok namun menghisap vape. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan sebelum ini mengumumkan duti eksais terhadap produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin yang mana separuh hasil akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Duti itu berkuat kuasa 1 April lepas pada kadar RM0.40 dan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel yang mengandungi nikotin dalam vape.

Ketika ini, Malaysia merupakan pengeksport terbesar cecair vape.

Tinjauan di laman sosial dan di butik-butik rokok elektronik itu mendapati ada pod-pod dan perisa vape yang dibuat berwarna-warni sebagai satu cara menarik perhatian remaja.

Bungkusan perisa juga kelihatan seperti air kotak minuman.

Terdapat juga laporan mengenai syarikat vape menaja baju untuk acara sukan, selain cuba mengupah pempengaruh media sosial untuk meletakkan produk dalam video mereka. 

Kegusaran yang sama disuarakan oleh ahli farmasi Fahmi Hassan.

Katanya, walaupun syarikat vape menjanjikan “self-regulation”, realitinya terdapat kepincangan dalam kawalan kendiri itu.

“Sebagai contoh, mereka bebas menggunakan apa-apa cara untuk promosi vape termasuk membuat vape dalam bentuk yang menarik minat remaja, menggunakan perisa yang mudah menarik minat, warna dan cara promosi yang menunjukkan vape sebagai gaya hidup.

“Ini bertentangan dengan janji mereka yang hanya ingin menjual vape kepada perokok sedia ada,” katanya.

Katanya, penjualan dalam talian, termasuk khidmat penghantaran menyebabkan ia mudah didapati oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak yang masih bersekolah.

Sesi Parlimen baru-baru ini menyaksikan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen dan tidak dibentangkan untuk diluluskan. 

Ia dilihat sebagai taktik melengahkan masa agar pemain industri vape boleh mencari seberapa banyak pelanggan yang mungkin.

Mengikut RUU itu, penjualan dan penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk vape tidak dibenarkan kepada individu yang lahir pada tahun selepas 2007.

Rafidah berkata, RUU itu sememangnya mampu mencegah tabiat merokok.

Katanya, Singapura menyaksikan penurunan tabiat merokok dalam kalangan remaja selepas meluluskan undang-undang mengharamkan import dan jualan vape di republik itu diperkenalkan pada 2018.

“Kita perlukan tekad. Kini pihak industri sedang bermain tarik tali.

“Undang-undang wujud untuk melindungi sebahagian anggota masyarakat dan memastikan pihak industri tidak menentukan dasar negara,” katanya, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here