Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita hamil disiasat kes hina Agong, pertikai pingat Lim Kit Siang -

Wanita hamil disiasat kes hina Agong, pertikai pingat Lim Kit Siang

SEORANG wanita hamil enam bulan ditahan bagi membantu siasatan memuat naik kandungan di media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung penganugerahan pingat kepada Lim Kit Siang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan IPD Seberang Perai Utara, 13 Jun lalu.

“Pada 7 Jun 2023, polis menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

“Susulan itu, pada 13 Jun 2023 pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kandungan di media sosial berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, selain penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, wanita itu juga dipercayai turut mengaitkan Lim sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.

Khaw berkata, susulan penahanan wanita itu, polis merampas beberapa bahan bukti antaranya komputer riba, telefon bimbit dan kad sim miliknya untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dibebaskan dengan jamin polis pada hari sama kerana mendakwa sedang mengandung enam bulan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh USJT Bukit Aman. -BERNAMA