Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sultan Mizan Zainal Abidin kurnia darjah kebesaran kepada 111 individu -

Sultan Mizan Zainal Abidin kurnia darjah kebesaran kepada 111 individu

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, hari ini.

Pengurniaan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng mendahului senarai penerima dengan anugerah tertinggi iaitu Datuk Bergelar.

Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada dua penerima iaitu Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Datuk Law Tien Seng.

Selain itu enam penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ), manakala 27 individu lagi dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT). Kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DSMZ termasuk Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aidi Ismail.

Selain itu Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ) kepada 16 penerima; Setia Mahkota Terengganu (SMT) (10 penerima); Ahli Sultan Mizan Abidin Terengganu (AMZ) (12 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) (36 penerima).

– BERNAMA