Dominic Lau sah bertanding di P.Pinang

0
205

PRESIDEN Gerakan Datuk Dr Dominic Lau (gambar) mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

Lau berkata beliau berhasrat bertanding di satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Seberang Perai

“Saya akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi selepas pembubaran DUN,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Lau berkata pada PRN yang melibatkan enam negeri tidak lama lagi, parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu hanya akan bertanding di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah.

“Parti Gerakan tidak akan bertanding di Kelantan dan Terengganu kerana semasa Pilihan Raya Umum (PRU15), mereka (PN) menggunakan logo PAS. Kedua, selepas rundingan kerusi, Bersatu dan PAS memainkan peranan yang sangat penting dan juga banyak penyandang di kedua-dua negeri itu.

“Penyandang akan mempunyai keutamaan untuk menjadi calon mewakili PN untuk bertanding. Kebanyakan penyandangnya adalah daripada PAS dan 95 peratus populasi penduduk adalah Melayu dan sebab itulah kedua-dua parti itu memainkan peranan aktif di dua negeri itu (Kelantan dan Terengganu) berbanding Gerakan. Itulah sebab kami tidak mengambil bahagian,“ katanya.

Selain itu, Lau berkata pembahagian kerusi bagi PRN akan dimuktamadkan antara parti komponen PN pada Rabu depan (22 Jun) bertempat Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur.

Pulau Pinang memiliki 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala Barisan Nasional memenangi dua kerusi dan PAS satu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan negeri bercadang membubarkan DUN Pulau Pinang pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN. – Bernama

.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here