Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN - Ahmad Samsuri -

PRN: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN – Ahmad Samsuri

TARIKH pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diputuskan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun beliau berkata tarikh-tarikh tertentu berkenaan perkara itu sudah difikirkan, namun ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dahulu untuk diperkenan baginda.

“Bila untuk saya menghadap Tuanku Sultan pun belum tahu lagi. Saya belum hantar permohonan untuk menghadap Tuanku Sultan berhubung perkara itu.

“Cuma gambaran awal itu sudah ada, biar saya maklumkan kepada Tuanku Sultan dahulu kemudian saya akan umumkan. Kita masih ada masa hingga 30 Jun (terbubar secara automatik),“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) kawasan Marang di sini, malam tadi.

Selain Terengganu, Kerajaan Negeri Kedah dan Selangor juga masih belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing, manakala DUN Kelantan dilaporkan akan dibubarkan pada 22 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), dan Negeri Sembilan (30 Jun).

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turut hadir pada majlis itu berkata Majlis Presiden PN akan bersidang pada Rabu (21 Jun) bagi menoktahkan perbincangan agihan kerusi parti dalam gabungan itu untuk berdepan PRN akan datang.

Beliau berkata ketika ini, hanya berbaki beberapa kerusi lagi yang belum selesai, mengambil kira kesesuaian parti-parti komponen PN untuk bertanding di sesuatu kawasan.

BERNAMA