Tak ramai hadir PAU petanda UMNO berpecah, kata pemimpin akar umbi

0
132

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) baru-baru ini mencatatkan kehadiran lebih rendah berbanding sebelumnya, kata beberapa perwakilan, dengan seorang mengaitkannya dengan perpecahan dalam parti.

Seorang pemimpin akar umbi dari Johor yang enggan namanya disiarkan berkata, suasana pada PAU yang diadakan awal bulan ini amat menyedihkan.

Jelasnya, keadaan tersebut tidak seperti PAU sebelum ini.

‘Mood’ kali ini sangat tidak baik. Ahli parti berpecah-belah. Ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan manakala yang lain memilih untuk menyertai parti yang mereka rasa perjuangkan hak Melayu,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Tapah bersetuju PAU tahun ini menyaksikan perhimpunan perwakilan yang lebih kecil.

“Sebagai orang lama dalam UMNO, (keadaan) ini menyedihkan saya. Rakan seperjuangan saya enggan hadir kerana tidak percaya dengan kepimpinan (parti),” kata pemimpin itu yang juga enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata, ramai hadir pada PAU untuk menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semasa perhimpunan itu katanya, mereka mengangkat poster menuntut keadilan bagi bekas presiden UMNO yang kini dipenjarakan.

Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Negeri Sembilan, yang juga enggan namanya disiarkan, berkata, beliau hanya menghadiri perhimpunan untuk menilai perancangan parti bagi PRN akan datang.

“Tetapi sebaik sahaja saya masuk ke dewan pada hari pertama (perhimpunan), saya dapat rasa kami tidak akan berjaya pada PRN.

“PAU ialah acara terbesar bagi parti, tetapi, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kali ini tidak ramai yang hadir,” katanya.

Seorang pemimpin Pemuda dari Kuala Lumpur bersetuju penyertaan pada PAU kali ini lebih rendah, tetapi beliau menyangkal dakwaan ia disebabkan rasa tidak puas hati ahli terhadap kepimpinan semasa.

Beliau berkata, kekurangan dana untuk menganjurkan acara, menyediakan pengangkutan, dan menyediakan makanan menyebabkan tidak ramai ahli menghadiri PAU kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here