PAC mahu laporan projek Land Swap Mindef dinyahklasifikasi

0
120

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Laporan Projek Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) dinyahklasifikasi.

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata ini susulan dua laporan yang pernah dibentangkan sebelum ini oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) bersama Laporan Land Swap kepada PAC semasa persidangan Parlimen ke-14, telah dinyahklasifikasi sebelum jawatankuasa itu dibubarkan.

Dua lagi laporan yang dbentangkan ketika itu ialah Laporan Automated Enforcement System (AES) pada 16 Nov 2020, Laporan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan kapal tempur persisir (LCS) pada 1 Dis 2020, manakala Laporan Land Swap pula pada 2 April 2019 dan 16 November 2020.

“Dua daripada tiga laporan JKSTUPKK ini telah dinyahklasifikasi oleh Jabatan Perdana Menteri, iaitu Laporan AES pada 8 Julai 2022 dan Laporan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan kapal tempur persisir (LCS) pada 17 Ogos 2022.

“Laporan Projek Land Swap masih belum dinyahklasifikasi dan memandangkan JKSTUPKK telah dibubarkan, saya telah menulis sepucuk surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, untuk nyahklasifikasi laporan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Khamis.

Mas Ermieyati berkata ia bagi membolehkan PAC melihat semula kepada perkara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here