Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Haji:TH lancar Tabung Nikmatul Khair -

Haji:TH lancar Tabung Nikmatul Khair

TABUNG Haji (TH) melancarkan Tabung Nikmatul Khair (nikmat kebaikan) untuk membolehkan petugas haji musim 1444 Hijrah menyalurkan sumbangan kepada jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata inisiatif itu bagi memberi peluang kepada petugas melakukan infak sebagai tanda kesyukuran kerana dapat hadir ke Tanah Suci bersama jemaah haji negara.

“Kita nak bagi balik apa yang dah kita terima dari segi peluang datang ke sini, kita ada sedikit bayaran elaun. Rezeki yang kita dapat ini nak kongsi bersama, insya-Allah berlipat kali ganda pahala,“ katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan petugas dan pelancaran tabung berkenaan di sini.

Beliau berkata pihaknya bercadang mengagihkan sarapan pagi kepada jemaah haji negara seperti dilakukan tahun lepas, atau membantu mereka yang memerlukan dari segi membayar upah melontar di Jamrah di Mina, bergantung kepada hasil kutipan tabung berkenaan.

Katanya, inisiatif itu dimulakan pada 2018 dengan agihan makanan kepada jemaah luar negara dibuat untuk dua tahun berturut-turut, hasil sumbangan wang tunai yang dikumpul.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Syed Saleh berkata berdasarkan program ziarahnya ke penginapan jemaah haji, rata-rata mereka berpuas hati dengan perjalanan haji setakat ini, sekali gus mencerminkan perancangan yang teratur TH dan komitmen 670 petugas haji kali ini.

“Kita impikan tahun ini menjadi tahun terbaik perkhidmatan kepada jemaah haji yang pernah kita berikan berbanding tahun-tahun sebelum ini,“ katanya.

BERNAMA