Warga emas didakwa bunuh dua lelaki

0
99

SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Song Ban Kheng di Bukit Mertajam, pada 6 Jun lalu.

Tertuduh, Tan Chew Heng, 66, hanya menganguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Chew Heng didakwa membunuh Tu Soon Ee, 79, di Lot 521, Jalan Song Ban Kheng dalam Daerah Seberang Perai Selatan di Bukit Mertajam antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membunuh M. Murugasan, 58, di lokasi sama antara pukul 1.45 petang hingga 8 Jun 12.01 tengah malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Sebelum ini media melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan semak berhampiran Jalan Son Ban Kheng, di Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam pukul 7.45 malam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang disyaki terlibat dengan kes berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here