Pemandu rentung treler terbabas dalam longkang

0
139

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pemandu treler rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 109 Lebuhraya Pagoh-Yong Peng dekat Batu Pahat tengah malam tadi.

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kepada pihak polis pukul 12.40 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bharu.

“Apabila sampai di tempat kejadian hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan lalu terbakar.

“Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu treler terbakar keseluruhan badan dan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Pahat hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Tambahnya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sekiranya mana-mana saksi awam terlihat kejadian kemalangan boleh tampil ke Balai Polis Trafik Batu Pahat atau berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07- 4327704,” ujar beliau.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, seramai 17 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mereka dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Treler berkenaan yang terbabas telah terbakar 80 peratus daripada keseluruhan kenderaan tersebut.

“Terdapat seorang mangsa rentung di bahagian tempat duduk pemandu. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi selesai pada jam 3.13 pagi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here