MP Alor Setar dakwa wujud ejen palsu PR1MA

0
171

AHLI Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberitahu Dewan Rakyat bahawa wujud pihak tertentu yang menyamar sebagai ejen menjual rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sehingga mengakibatkan kerugian belasan ribu ringgit.

Mengambil contoh kes penjualan di PR1MA Simpang Empat, Alor Setar, beliau berkata modus operandi mereka adalah dengan menggunakan logo, kepala surat, serta surat tawaran daripada bank.

“Dimaklumkan ada hampir 100 orang pembeli tertipu dan telah membayar duit belasan ribu ringgit setiap seorang.

“Adakah kementerian sedar perkara ini berlaku dan apa tindakan mengatasi kes ini?,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Astro AWANi.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan penyamaran pihak itu merupakan satu perbuatan jenayah.

Tambah beliau, terdapat juga pihak yang mengelirukan perkara seperti itu melalui pengiklanan di laman sosial seperti Facebook.

“Saya sendiri pun ada terlihat. Perkara ini sekiranya berlaku, memang perlu dikemukakan kepada pihak polis. Sebab itu telah jatuh ke masalah jenayah.

“Cuma untuk peringatan kepada para pembeli di luar sana yang mungkin berminat untuk projek PR1MA, saya nasihatkan kepada bakal pembeli agar semak terus sama ada di laman web PR1MA dan jangan percaya kepada pihak ketiga yang diletakkan di Facebook, Twitter dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Akmal menambah sebanyak 54 daripada 86 projek PR1MA di seluruh negara telah siap dibina, dengan 22 projek sedang dalam peringkat pembinaan manakala 10 projek lagi di peringkat perancangan.

“Sebanyak 22 projek masih dalam peringkat pembinaan dan belum memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC);

“Sebanyak dua projek telah siap dibina dan telah menerima CCC, namun masih dalam proses pemeriksaan dan pembaikan kecacatan bangunan sebelum unit kediaman dapat diserahkan kepada pembeli.

“Sementara, empat projek kini dalam proses penyerahan kunci yang dibuat secara berperingkat bermula pada 13 Jun,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here