Jabatan Penjara perlu beri penjelasan layanan berbeza kepada Najib – Peguam

0
177

JABATAN Penjara digesa menjelaskan mengapa Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibenarkan melawat Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara dengan layanan berbeza.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff, berkata ada tatacara dan proses serta prosedur tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dengan jumpa banduan.

“Ada keadaan tertentu di mana ada permohonan dibuat kepada penguasa penjara, namun semua ini spekulasi kerana Zahid tidak memberitahu sama ada beliau membuat permohonan itu ataupun diberi layanan khas kerana memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Soalnya kini bukan undang-undang atau peraturan dua darjat, sebaliknya pihak penjara perlu perjelaskan sama ada ada berlaku pelanggaran protokol atau ada permohonan khas yang telah dibuat.

“Jika ada permohonan, mengapa layanan istimewa diberi, peguam yang mewakili Najib dan pihak penjara kena jelaskan apakah permohonan itu,” katanya kepada BH hari ini.

Haniff mengakui, ada situasi tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dua mata dengan banduan seperti contoh pemegang saham atau ahli lembaga pengarah syarikat perlu tandatangan dokumen atau resolusi atau cek syarikat atau selainnya, akan ada permohonan dari pihak peguam pembelaan, namun mesti atas alasan yang kukuh.

“Sekarang ini kita tak tahu siapa mohon apa, kita tak boleh teka atau anggap yang Timbalan Perdana Menteri diberi layanan khas.

“Untuk bersikap adil, Zahid bercakap dalam konteks beliau ditanya khabar Najib dipenjara dan beliau dedahkan telah berjumpa dan memberitahu sempat makan bersama, bawa makanan kegemaran dan sebagainya, Zahid tidak menjelaskan sama ada permohonan khas dibuat mana-mana pihak,” katanya, lapor BH Online.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff

Pertemuan empat mata sambil menikmati pelbagai makanan yang dibawa, berlangsung di antara Ahmad Zahid dan Najib itu didedahkan sendiri Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Haniff berkata, pihak yang wajib memberi penjelasan itu adalah Jabatan Penjara yang membenarkan lawatan itu.

“Dengan penjelasan yang baik, rakyat takkan pandang serong terhadap Jabatan Penjara dan tanggapan wujudnya undang-undang dan peraturan dua darjat di antara rakyat dan VIP boleh dihapuskan,” katanya.

Haniff menambah, setiap perkara perlu ada penyelesaian dan beliau meminta rakyat Malaysia hentikan budaya membuat spekulasi dan buruk sangka.

“Dapatkan maklumat yang tepat, tak perlu diperbesarkan perkara selagi boleh diselesaikan dengan penjelasan pihak berwajib,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here