PAS Kelantan masih simpan ‘peluru’, tunggu masa tepat

0
151

PAS Kelantan memberi bayangan bahawa menjadi suatu kesilapan jika ada pihak menganggap mereka hanya berdiam diri kerana gagal menangkis serangan musuh politik parti itu.

Menurut salah seorang pemimpin kanan PAS Kelantan, mereka berdiam diri ketika ini kerana menunggu masa yang tepat untuk bertindak balas.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata dalam suasana menjelang detik ‘peperangan’ suasana sebegitu memang berlaku dan pihaknya masih menyimpan ‘peluru’ tertentu.

“Biasalah kita nak perang. Dia serang kita dan selepas ini giliran kita pula. PAS Kelantan belum keluar lagi peluru kita.

“Bukan tiada serangan balas tetapi masanya belum sampai. Dewan undangan negeri (DUN) belum bubar. Wisel belum ditiup macam mana nak berlari?

“Tunggu pengadil sudah tiup wisel nanti, masa itu keluarlah buah-buah kita,” katanya berkias seperti dipetik Utusan Online di Kota Bharu hari ini.

Kelantan adalah satu daripada enam pentadbiran yang bakal mengadakan pilihan raya peringkat negeri dalam tempoh terdekat. Negeri lain ialah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Antara isu yang melatari Kelantan menjelang pilihan raya negeri (PRN) itu ialah kekurangan kemudahan asas – khususnya bekalan air bersih – yang digunakan pihak lawan PAS-PN.

Banyak kejutan lain lagi

Mohd Amar mendakwa 90 peratus daripada isu yang dimainkan pihak lawan hanya untuk memburuk-burukkan parti itu dan bukan serius mahu mendapatkan penjelasan.

Keadaan itu, katanya, menunjukkan pihak lawan PAS kekeringan modal sehingga terpaksa menghidupkan semula isu lama, dengan kebanyakan daripadanya sudah diberikan penjelasan.

“(Kerajaan negeri) jawab dengan fakta apa sekali pun mereka tidak akan dengar. Sebab itu kadangkala kita tidak pedulikan serangan-serangan ini.

“Di satu sudut lain, mereka perlu serang PAS di Kelantan untuk menimbulkan rasa ragu-ragu dan menghalang pengundi-pengundi luar daripada menyokong PN kerana mereka melhat gelombang kebangkitan di luar sedang bergerak sekarang,” katanya.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan turut menganggap serangan pihak lawan tidak memberi kesan, sebaliknya lebih bersifat ‘peluru kapur’ saja.

Dia juga memaklumkan, selain bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, masih ramai pemimpin dan personaliti terkenal bakal menyertai PAS atau Bersatu.

“Lagipun pengisytiharan kemasukan) tokoh-tokoh ini belum selesai sebenarnya.

“Ada ramai lagi tokoh yang menyertai PAS di setiap negeri. Kami akan isytihar secara berperingkat mengikut masa yang sesuai dan masih banyak lagi kejutan-kejutan yang bakal dibuat selepas ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here