PARTI mana yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Meru dan Kuang pada pilihan raya negeri (PRN) dipercayai masih menjadi pertikaian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut sumber UMNO, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mahukan kerusi sama.
“Meru, yang kini disandang wakil PKR juga dituntut oleh UMNO kerana mereka merasakan boleh menang mengambil kira undi pada PRU15, yang mana ia memihak kepada BN,” dakwa sumber itu memetik laporan FMT.
Pada PRU14, Fakhrulrazi Mokhtar dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili PH menang kerusi itu, beliau kemudian menyertai PKR.
PKR dikatakan bersedia memulangkan semula kerusi Meru yang terletak di bawah Parlimen Kapar kepada Amanah, rakan komponen dalam PH.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu berkata sekurang-kurangnya tiga kerusi lagi belum diselesaikan antara BN dan PH di negeri itu bagi menghadapi PRN.
Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga setiausaha politik kepada Amirudin, turut dikhabarkan berpindah kerusi ke Ijok, tambah sumber itu.
Sumber UMNO itu berkata menerusi rundingan setakat ini parti itu bakal bertanding 13 kerusi dan masih berunding beberapa kerusi lagi bersama rakan gabungan mereka.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN namun gabungan itu meminta PH Selangor menambah sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi termasuk untuk MCA dan MIC.
UMNO, wakil tunggal BN di DUN Selangor menyandang lima kerusi iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong dan Semenyih.
DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.