Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang ketika ribut

0
142

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, pokok tumbang terbabit turut menghempap beberapa kenderaan lain termasuk kereta jenis Marcedes Benz dan Perodua Myvi serta dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Avantis.

Difahamkan, terdapat tiga mangsa iaitu dua lelaki yang juga penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan patah paha dan kaki manakala seorang wanita hanya cedera ringan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis.

Operasi menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin turut mengesahkan kejadian berlaku dan memberitahu pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.26 pagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here