TREND kejatuhan sokongan kepada UMNO sudah lama berlaku dan “cukup jelas”, berdasarkan prestasi parti itu dalam beberapa pilihan raya umum lalu, kata wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin.
Mengkaji prestasi UMNO sejak empat atau lima PRU lalu, beliau berkata ramalan mengatakan parti itu akan ‘bungkus’ pada PRN akan datang tidak boleh ditolak bulat-bulat.
“Perangkaan keputusan PRU dan PRN secara sahih mempamerkan aliran kejatuhan UMNO yang berlaku secara berterusan sejak hampir satu setengah dekad sehinggalah tewas dalam PRU 2018 dan bertambah tenat dalam PRU November lalu,” katanya di Facebook.
Menurut Kadir, calon-calon UMNO umumnya bertanding di kawasan yang tidak ramai pengundi, oleh itu, undi yang diperoleh tidaklah banyak.
Katanya lagi, menurut maklumat di domain awam mengenai peratus undi yang diperolehi oleh parti politik, perangkaan menunjukkan undi paling tinggi dicapai oleh calon-calon UMNO adalah 35.71%, pada PRU11 2004.
“Maksudnya, daripada setiap 100 orang yang mengundi, hanya 35 atau 36 memilih calon-calon UMNO,” katanya.
“Sokongan ini jatuh kepada 29.9% dalam PRU 2008, 29.32% pada 2013, 20.9% pada 2018, dan 16.43% pada 2022.”
Angka-angka itu menunjukkan bahawa orang Melayu “menyisihkan” UMNO secara berterusan, manakala orang bukan Melayu sudah lama menolak Barisan Nasional.
Kadir mengambil maklum bahawa pada 2022, PAS dan Bersatu memperoleh 38.11% undi.
Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, pada Khamis berkata parti itu akan “bungkus” pada PRN di enam negeri akan datang.
Beliau menjawab kenyataan kenyataan bekas naib presiden Hishamuddin Hussein yang membidas “jemputan sinis” ke perhimpunan agung UMNO, yang sedang berlangsung.
Kadir berkata daripada enam negeri yang akan berpilihan raya tidak lama lagi itu, tiada satu pun diperintah BN.
“Boleh dikatakan di semua enam buah negeri itu, kecuali Negeri Sembilan dan Terengganu, UMNO sangat lemah.”
“Kesimpulannya, trend kejatuhan sokongan kepada Umno sudah lama berlaku dan cukup jelas,” lapor FMT.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.