Pemuda UMNO menangis selepas beri Najib Anugerah Tokoh Pemuda

0
294

TANGISAN perwakilan Pemuda UMNO pecah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini saat Anugerah Tokoh Pemuda 2023 kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak diumumkan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan anugerah tersebut kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023, hari ini.

Suasana bertukar sayu apabila Akmal dan Nizar dilihat sedih hingga mengalirkan air mata kemudian turut menyertai mereka ialah seorang lagi anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Mad Shah.

Mereka kemudiannya berpelukan disambut laungan ‘malu apa bossku’ dan takbir oleh perwakilan lapor Agendadaily.

Difahamkan Najib yang pernah memimpin Pemuda UMNO pada tahun 1987 hingga 1993 itu diberikan anugerah tersebut atas kecekalannya berdepan cabaran dalam politik serta pembunuhan karakter sehingga dipenjarakan.

Najib kini sedang menjalani hukuan penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya termasuk denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here