Bekas pengurus didakwa salah guna jawatan beli kad sim daripada anak

0
190

BEKAS pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan bekalan kad sim daripada anaknya untuk syarikat tahun lepas.

Shahrizal Ridzuan Ambak, 46, yang ketika itu bertugas di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan bekalan kad sim untuk 117 pekerja, berjumlah RM4,428.60, daripada ejen kad sim yang merupakan anak tertuduh, di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh di Kemaman, antara Julai hingga September 2022 .

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Yusoff dan Nur Athikah Aziz menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Shahrizal Ridzuan memohon jaminan diringankan dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai juruaudit bebas dan kerap ke luar negara bagi melaksanakan tugas.

Hakim Mohd Azhar Othman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat beliau tidak mengganggu saksi pendakwaan, selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Pasport Shahrizal Ridzuan tidak diminta untuk diserahkan dan 3 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here