Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
K9 digunakan bantu kesan kanak-kanak dikhuatiri lemas -

K9 digunakan bantu kesan kanak-kanak dikhuatiri lemas

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bagi membantu mengesan kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dua anjing pengesan dibawa untuk menyertai operasi mengesan mangsa berusia lapan tahun itu dengan melakukan kaedah pencarian di tebing sungai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini diteruskan dengan kaedah pencarian di permukaan sejauh dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Keadaan di lokasi kejadian tidak mengizinkan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman untuk pencarian dan pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya usaha mencari mangsa yang memasuki hari kedua itu masih diteruskan melibatkan 24 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, PPDA dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Teluk Intan.

“Operasi ini turut dibantu 12 anggota polis, enam daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia termasuk tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Slim,“ katanya.

Semalam, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dengan berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika hilang pada 5.06 petang. –Bernama